Manfaat rakyat ukuran kejayaan pentadbiran - MB Kelantan


Oleh: Asri Hamat, | 
Foto: Media UKMB

KOTA DARULNAIM, 14 Februari – Kejayaan sesebuah pentadbiran mesti dinilai berdasarkan sejauh mana manfaatnya dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat. Bukannya diukur melalui retorik atau perbezaan pandangan semata-mata. 

Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, susulan pertemuan beliau bersama Perdana Menteri YAB DATUK Seri Anwar Ibrahim, selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 pada Rabu lalu. 

Kunjungan hormat itu dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan kerja antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pertemuan tersebut menjadi medan mempererat kerjasama pentadbiran secara matang, berhemah serta berorientasikan penyelesaian demi kepentingan rakyat.

“Segala perbincangan bermatlamat kepada satu tekad iaitu memastikan manfaatnya dirasai sepenuhnya oleh rakyat, kerana kesejahteraan mereka adalah ukuran sebenar kejayaan pentadbiran,” katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.

Pertemuan berkenaan turut disertai Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Rosnazli Amin dan Bendahari Negeri Kelantan Dato’ Roslan Yahya.

Dato' Mohd Nassuruddin berkata, fokus utama perbincangan tertumpu kepada usaha memperkasa amalan federalisme yang sihat melalui pendekatan profesional, saling menghormati bidang kuasa serta perkongsian tanggungjawab antara negeri dan Persekutuan.

Tambahnya, kerajaan yang matang perlu mampu mengurus perbezaan secara bijaksana dan mencari titik persamaan untuk maslahat bersama.

“Negeri dan Persekutuan harus bergerak seiring, bukan untuk menentukan siapa lebih menonjol, tetapi siapa yang lebih terbela,” katanya.

Tegasnya, keutamaan pentadbiran adalah memastikan kepentingan umum sentiasa mendahului, dengan setiap inisiatif dirangka secara praktikal dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Post a Comment

0 Comments