RUU: Kerajaan Madani utamakan bahasa Inggeris

Oleh A Rahman Harun |

KUALA LUMPUR: Kerajaan dianggap tidak cakna terhadap status bahasa kebangsaan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa.

Ahli parlimen PN Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, kerajaan menetapkan perjanjian asal yang bukan dalam bahasa Melayu perlu diterjemahkan dalam bahasa Inggeris.

Katanya, Seksyen Enam RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa dipertikaikan kerana mengutamakan bahasa Inggeris berbanding kedudukan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau walaupun masalah bahasa bukan satu ketetapan penting dalam Konvensyen Singapura, namun kerajaan sepatutnya mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam sebarang urusan pentadbiran.

"Dalam perbahasan belanjawan saya memuji rancangan kerajaan untuk menterjemah undang-undang 1967 ke dalam bahasa kebangsaan.

 "Tetapi usaha tersebut dilihat hanya separuh jalan kerana kini akta Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa seperti yang dibahaskan ini masih mengutamakan terjemahan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata demikian pada perbahasan RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran di Dewan Rakyat semalam.

Che Zulkifly berkata, kerajaan Madani masih beranggapan penggunaan bahasa Inggeris lebih utama berbanding bahasa Melayu.

Sedangkan kerajaan sebelum ini pernah melaksanakan langkah drastik menghapuskan dominasi bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan dan pentadbiran bagi memartabatkan bahasa Melayu.

“Banyak negara maju mengutamakan bahasa ibunda berbanding bahasa Inggeris, malah langkah itu digunakan memperkukuhkan identiti nasional, warisan budaya dan keberkesanan pembelajaran.

"Kita terus berada dalam kitaran yang sama. Satu masa kita terjemahkan undang-undang ke dalam bahasa kebangsaan dan sekarang berlaku sebaliknya pula.

"Negara lain yang turut meratifikasi Konvensyen Singapura seperti Jepun, Georgia, Ecuador mempunyai peruntukan yang serupa, tetapi menetapkan dokumen mesti diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan," katanya.

Terdahulu RUU terbabit dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat bagi menyokong usaha untuk meratifikasi Konvensen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau lebih dikenali Konvensyen Singapura ditandatangani 2019.

Sebanyak 59 negara menandatangani konvensyen itu termasuk Malaysia, Brazil, United Kingdom (UK), Bahrin dan Belarus.

Post a Comment

0 Comments