NGO, wakil rakyat rai Orang Asli di pedalaman

 

Oleh Intan Lestari |

GUA MUSANG: Lebih 500 orang Asli di Pos Pasek di pedalaman Gua Musang diraikan wakil rakyat dan beberapa NGO sempena program Bangun Ummah Orang Asli baru-baru ini.

Progam itu dianjur Ikhtiar Ihsan Care, Pertubuhan Kebajikan Nur Ihsan Perak, Pertubuhan Sayang Wanita Malaysia dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Nenggiri pada Jumaat dan Sabtu lepas.   

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, lebih 300 keluarga masyarakat Orang Asli menerima sumbangan dan bantuan daripada NGO dan sukarelawan yang hadir.

Katanya, keluarga penduduk Orang Asli disumbang barangan dapur dan pakaian.

“Program tersebut membawa pendekatan lebih holistik dengan pelbagai aktiviti untuk mengukuhkan semangat dan motivasi komuniti Orang Asli,” katanya pada program tersebut.

Hadir sama pengasas Ikhtiar Ihsan Care Ustazah Asmak Husin dan wakil-wakil NGO serta pemimpin masyarakat tempatan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk motivasi pendidikan, tips berpuasa di bulan Ramadan, hiburan Islam dan sukan rakyat.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, pada program terbabit turut diadakan penyampian sumbangan kepada seorang pelajar cemerlang yang berjaya melanjutkan pengajian ke MRSM Gua Musang.

“Kejayaan pelajar terbabit menjadi motivasi bagi anak-anak muda di kampung tersebut untuk terus berusaha mengejar cita-cita mereka,” ujarnya.

 


Post a Comment

0 Comments