Oleh Salmah Mat
Husain |
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan menyediakan bantuan khas secara one-off sebanyak RM1,000 bagi
membantu pesakit kanser payudara.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, skim itu diwujudkan sejak tahun 2021 sebagai mengggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesukaran dihadapi pesakit kanser payudara.
Menurut beliau, bagi tahun 2026, bantuan secara one-off berjumlah RM1,000 akan diberikan kepada setiap pemohon yang layak dan memenuhi syarat ditetapkan.
“Kerajaan negeri memahami kos rawatan serta keperluan sampingan yang perlu ditanggung pesakit sepanjang proses rawatan. Skim ini diharap dapat membantu mengurangkan sedikit bebanan kewangan pesakit,” katanya di sini.
Antara syarat iaitu pemohon merupakan warganegara Malaysia bermestautin di Kelantan, disahkan menghidap kanser payudara pada mana-mana tahap oleh hospital.
Selain itu, masih menjalani rawatan di hospital yang diperakui kerajaan, tidak menerima Skim Bantuan Khas Kanser Payudara Kelantan 2025, pendapatan isi rumah kurang RM5,000 sebulan dan melampir dokumen sokongan yang disahkan.
Dokumen berkenaan termasuk salinan kad pengenalan pemohon, surat pengesahan pesakit kanser payudara daripada hospital, penyata gaji pemohon dan pasangan, serta borang yang disahkan penghulu mukim dan Adun atau Penyelia Dun.
Borang permohonan boleh dimuat turun melalui pautan rasmi kerajaan negeri dan dihantar ke Pejabat Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Aras 2, Blok 2, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.
Tarikh tutup permohonan 31 Mac 2026 dan orang ramai boleh menghubungi 019-9813 918 melalui WhatsApp bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Baru-baru ini Rohani merasmikan Kempen Kesedaran Kanser: Saring Awal, Rawat Awal di Dewan Kolej Vokasional Kuala Krai.
Program itu dianjur bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan saringan awal kanser sebagai langkah pencegahan dan rawatan lebih berkesan.



0 Comments