Oleh A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR: Kerajaan
Persekutuan hendaklah menjadikan Majlis Kewangan Negara sebagai medium
rundingan negeri dengan persekutuan bagi menyelesaikan pertikaian melibatkan kewangan
dan pembangunan.
"Perkara ini amat fundamental khususnya dalam menilai semula keupayaan negeri untuk mengurus kewangan dan merancang pembangunan yang bersifat responsif terhadap keperluan tempatan," kata Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok).
Beliau berkata, kerajaan perlu menyedari perkara tersebut merupakan elemen asas dalam amalan federalisma terutama bagi menilai semula keupayaan serta mengurangkan jurang negeri.
Kata beliau cadangan tersebut sepatutnya diberi perhatian serius kerajaan agar matlamat asal pembentukan Malaysia dapat diperkukuhkan.
“Kerajaan perlu merangka formula kenaikan pemberian geran per kapita lebih munasabah dengan mengambil kira kenaikan kadar inflasi, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan penduduk tidak seimbang antara negeri.
“Lagipun tempoh semakan kadar tersebut menetapkan julat masa iaitu selama 10 tahun sekali berpandukan had tempoh bancian penduduk dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya juga Majlis Kewangan Negeri setuju tempoh itu dilaksanakan dan kerajaan perlu melaksanakannya dalam bentuk undang-undang yang lebih mengikat agar ia lebih jelas dan teratur.
Katanya lagi, sejak penubuhan Malaysia pada 1963 bancian penduduk dan perumahan diadakan sebanyak enam kali iaitu pada 1970, 1980, 1991, 2000, 2010 dan 2020 berbanding geran tersebut disemak dua kali, 1993 dan 2002.
"Jadual pembayaran kerajaan persekutuan memastikan penyaluran kepada negeri-negeri dibuat mengikut jadual yang ditetapkan difahamkan dua kali setahun Januari dan Jun tidak boleh lengah-lengahkan," katanya.

0 Comments