Dr Wan Martina bangkit isu lebuh raya dan perumahan mampu milik di Dewan Negara

Ahli Dewan Negara Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff

Oleh: Syamimi Manah

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Ahli Dewan Negara Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff membangkitkan beberapa isu kritikal melibatkan infrastruktur, perumahan dan pembangunan ekonomi dalam teks Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, semalam.

Antara yang menjadi tumpuan ialah status Projek Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang disifatkan sebagai nadi perhubungan penting rakyat di Pantai Timur. 

Beliau memohon penjelasan Kementerian Kerja Raya mengenai komitmen kerajaan terhadap sasaran penyiapan projek tersebut yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

Menurutnya, persoalan utama adalah sejauh mana peratus kemajuan keseluruhan projek ketika ini serta jaminan bahawa ia dapat disiapkan tanpa penangguhan lanjut.

Senator Wan Martina turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan Pakej Bandar Gua Musang yang didakwa seolah-olah terbengkalai dan tidak menunjukkan kemajuan sewajarnya.

Beliau meminta penjelasan terperinci sama ada kelewatan tersebut berpunca daripada masalah prestasi kontraktor, isu teknikal di tapak atau kekangan penyaluran peruntukan.

“Kelewatan ini telah memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat. Pengguna jalan raya terpaksa menggunakan laluan alternatif yang tidak stabil, berlubang dan berbahaya, khususnya ketika musim tengkujuh dan menjelang perayaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut pelan mitigasi yang jelas termasuk langkah segera membaiki laluan sementara bagi menjamin keselamatan pengguna.

Dalam pada itu, Dr Wan Martina turut membangkitkan status projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang masih tertangguh dan belum menunjukkan komitmen pembinaan fizikal yang meyakinkan.

Katanya, projek berkenaan amat penting sebagai pelengkap ekosistem logistik dan rangkaian perhubungan di Pantai Timur, khususnya bagi negeri Terengganu dan Kelantan.

Beliau mempersoalkan sama ada kementerian mempunyai garis masa konkrit untuk memulakan fasa pembinaan atau projek tersebut akan terus berada dalam fasa kajian tanpa kepastian pelaksanaan.

"Kelewatan dan penangguhan projek LPT3 ini secara langsung telah membiarkan potensi ekonomi di wilayah Pantai Timur terus terbantut" jelasnya.

Menyentuh isu perumahan mampu milik, Senator Wan Martina menegaskan bahawa pemilikan rumah pertama masih menjadi cabaran besar kepada anak muda berikutan jurang antara pendapatan isi rumah dan harga hartanah semasa.

Beliau meminta penjelasan mengenai status terkini projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Kelantan yang masih dalam pembinaan atau perancangan.

Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengkaji mekanisme pembiayaan bagi golongan sektor tidak formal dan ekonomi GIG yang sering berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan kerana ketiadaan slip gaji tetap.

“Rakyat memerlukan rumah yang benar-benar mampu milik dengan kualiti binaan yang munasabah, bukan sekadar mampu dilihat tetapi tidak mampu dimiliki,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh potensi pelancongan kesihatan sebagai pemangkin ekonomi negara dan mencadangkan agar fokus tidak hanya tertumpu di Lembah Klang atau Pulau Pinang.

Menurutnya, Kelantan mempunyai potensi besar sebagai hab pelancongan kesihatan di Pantai Timur, khususnya bagi pasaran Selatan Thailand, dengan kepakaran perubatan di Hospital Universiti Sains Malaysia serta perkembangan hospital swasta tempatan.

Beliau mencadangkan pemberian insentif cukai lebih menarik kepada hospital swasta yang melabur dalam fasiliti pelancongan kesihatan di Kelantan serta penyelarasan antara kementerian bagi memudah cara urusan visa perubatan dan logistik pesakit antarabangsa.

Katanya, pemerkasaan sektor tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan negeri, malah membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak tempatan dalam bidang perubatan dan perhotelan.

“Kita mahu melihat Kelantan bukan sahaja terkenal dengan keindahan seni budayanya, tetapi turut diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan perubatan di rantau ini,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments