KOTA BHARU: Kedatangan Ramadan yang menuntut orang Islam berpuasa tidak pernah menyebabkan mereka menjadi lemah seperti dibuktikan di zaman awal kebangkitannya.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, di bulan Ramadan umat Islam ketika itu berdepan dengan peperangan termasuk perang Badar.
Katanya dengan amalan berpuasa ia berjaya membentuk kekuatan peribadi orang Islam melalui ketaqwaan.
"Sebab itulah Ramadan juga dikenali sebagai bulan al Quran yang berupaya membentuk kekuatan peribadi melalui tadabur isi kandungnya," katanya ketika menyampaikan tazkirah pertama Ramadan di Dewan Zulkifli Muhammad, Pejabat PAS Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Ketua Penerangan PAS negeri Ustaz Mohd Asri Mat Daud dan wakil-wakil rakyat.
Beliau juga berkata, kecerdasan buatan (AI) mampu mencipta video dan audio palsu yang kelihatan benar, malah perkembangan tersebut menjadi lebih kritikal kerana teknologi mampu mengaburi garis antara kebenaran dan kepalsuan.
"Kita perlu banyak mendapat khazanah ilahi dikeluarkan untuk diamalkan bagi menghadapi cabaran yang sedang berlaku pada hari ini terutama fitnah semakin meluas dengan adanya media baru. Ini fenomena yang menakutkan.
"Media baru boleh mempengaruhi kehidupan masyarakat, boleh memesongkan cara pemikiran dan sebagainya, itu cabaran yang perlu kita hadapi," katanya.
Oleh itu beliau berharap pengkuliah memberi sentuhan berkaitan al Quran yang boleh membina kekuatan sesuai bulan ini sebagai bulan turun al Quran.
Menurutnya juga pemilihan ayat 24 hingga 28 surah al Anfal yang mempunyai kaitan khusus dengan fitnah boleh dikongsikan dengan orang ramai membabitkan manipulasi digital yang lebih canggih.
"Ayat tersebut menjadi teks tadarus rasmi kerajaan negeri sempena bulan Ramadan tahun ini untuk dihayati bersama rakyat Kelantan," ujarnya.



0 Comments