Menara Masjid Tanjak yang kelihatan dari jauh berwarna biru dan kuning tidak seperti masjid lain yang lengkap dengan kubah dan lambang bulan bintang.
Masjid tersebut dibangun dii kawasan berbukit seluas 15.100 meter persegi dengan keluasan bangunan 4.983 meter persegi. Ia mampu menampung 1,250 jemaah termasuk memuat 250 jemaah di aras atas.Mulai beroperasi pada pertengahan 2022 dibina tanpa pintu khusus kecuali ruang terbuka yang membolehkan pergerakan udara lebih lancar.
Tidak kelihatan kipas di bahagian dinding atau siling kecuali beberapa kipas mudah alih yang diletak di bahagian hadapan saf.Tempat wuduk dan bilik air pula terletak di luar bangunan masjid yang diurus dengan teratur dan bersih. Terdapat sembilan pekerja yang mengurus masjid tersebut setiap hari dengan gaji dibayar oleh pemerintah.
Dewan solat tanpa pintu membolehkan aliran udara bergerak bebas sehingga orang ramai yang menunaikan solat berasa nyaman dan agak sejuk tanpa putaran kipas dan penyaman udara. Dewan solat luas dan tiada tiang.
Masjid tanjak terletak di Bandar Udara (Bandara) Internasional Airport Hang Nadim di Batu Besar, Nongsa, Batam. Terdapat juga tugu helang di depan pintu masuk kawasan Bandara.
Seorang kakitangan masjid terbabit yang mahu dikenali sebagai Tri berkata, masjid itu sering menjadi tempat persinggahan penumpang yang menunggu pesawat untuk ke tempat lain.Kata beliau penumpang datang ke masjid untuk menunaikan solat di samping menunggu pesawat untuk pergi ke pelbagai tempat di Indonesia atau negara luar.
"Begitu juga jemaah umrah sering datang ke Masjid Tanjak sebagai tempat berkumpul kerana kedudukan bersebelahan dengan Internasional Airport Hang Nadim," katanya ketika ditemui semalam.
Lapangan terbang tersebut merupakan yang terbesar di Sumatera menyediakan penerbangan terus ke Arab Saudi ketika musim haji. Selain itu ada juga penerbangan ke Singapura, China dan Korea Selatan.Pihak pengurusan masjid turut menyediakan juadah berbuka puasa kepada jemaah yang berkunjung ke masjid tersebut pada Ramadan. Pelancong yang datang tidak melepaskan peluang merakam keindahan senibina budaya Melayu masjid terbabit.
.





0 Comments