Ramadan mampu bentuk latihan kepimpinan

 

Oleh Salmah Mat Husain 

Foto: Asri Hazim

KOTA BHARU: Seluruh struktur Ramadan sebenarnya mampu membentuk latihan kepimpinan yang boleh membina kekuatan dalaman seseorang insan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhsari Muhammad berkata, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, sebaliknya sebagai madrasah pembentukan kepimpinan yang melahirkan generasi berdisiplin dan berjiwa besar.

Menurutnya, ibadah puasa mengajar disiplin diri, solat tarawih melatih istiqamah manakala tadarus al-Quran mendidik umat Islam mencintai ilmu serta memahami wahyu Allah SWT.

“Seorang pemimpin mesti mempunyai disiplin diri, kawalan emosi dan hubungan yang kuat dengan Allah SWT. 

"Anak muda yang kuat rohaninya akan kuat jati dirinya, dan anak muda yang kuat jati dirinya akan menjadi pemimpin yang amanah,” katanya ketika merasmikan Program Anak Muda Tamu Ramadan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Urusetia Belia, Sukan (U-BeS) Mohamad Firdaus Nawi.

Katanya, sejarah Islam membuktikan perubahan besar digerakkan golongan muda, termasuk Saidina Ali  yang memeluk Islam pada usia muda serta Usamah bin Zaid yang memimpin pasukan tentera ketika masih belasan tahun.

“Ini mesej jelas potensi anak muda sangat besar apabila dipimpin dengan nilai dan tarbiah yang betul,” ujarnya.

Tambahnya juga cabaran media sosial dan krisis nilai memerlukan golongan belia

 berdepan pelbagai  tekanan sosial, pengaruh luar serta krisis nilai dan identiti dalam dunia yang serba pantas.

Katanya juga kerajaan negeri komited memastikan agenda belia tidak hanya tertumpu kepada aktiviti sukan atau program bermusim, sebaliknya melibatkan pembangunan menyeluruh merangkumi aspek rohani, intelektual, kepimpinan dan perpaduan masyarakat.



Post a Comment

0 Comments