KUALA TERENGGANU: Dato’ Hanafiah Mat tidak diwajibkan meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri kerana ia tidak menjejas proses pendakwaan dan perbicaraan yang dihadapinya.
Menteri Besar Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.
Oleh itu katanya semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan.
“Kerajaan negeri menghormati proses undang-undang. Kerajaan negeri juga komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional,” katanya pada kenyataan.
Hari ini Hanafiah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan membabitkan ahli keluarganya.
Bagaimanapun beliau yang juga Adun Chukai mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azman Mustafa.
Mengikut pertuduhan beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anaknya, Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anaknya, Ahmad Kamil Hanafiah.
Sementara itu Hanafiah pada kenyataan memberitahu sejak peringkat awal beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak penyiasat.
Kata beliau segala dokumen yang diperlukan telah diserah dan keterangan juga diberikan.
“Saya tidak pernah sesekali mengelak daripada proses undang-undang yang sedang berjalan. Siasatan ini bukan perkara baharu, sebaliknya telah bermula sejak beberapa tahun lalu.
“Saya berpegang teguh kepada prinsip setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.
“Saya juga memahami dalam suasana politik semasa, pelbagai persepsi dan spekulasi boleh timbul,” ujarnya.
Menurutnya juga beliau memilih untuk tidak mengulas perkara yang bersifat spekulatif dan menyerahkannya sepenuhnya kepada proses undang-undang.
Beliau juga yakin rakyat mampu menilai secara adil berdasarkan fakta, tanpa dipengaruhi oleh persepsi yang tidak berasas.
“Fokus saya kekal kepada amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat. Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab tersebut dan akan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti,” katanya.



0 Comments