Ada pihak buang sampah merata tempat selepas iftar

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu dengan membuang sampah di merata tempat boleh mencacatkan pemandangan kawasan awam yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, ada segelintir pihak membuang sampah sarap merata selepas berbuka puasa.

Katanya, perbuatan tersebut mencacatkan pemandangan beberapa kawasan awam seperti di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh berhampiran Pasar Raya Lotus.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengenakan denda sehingga RM1,000 terhadap individu yang membuang sampah di tempat awam khususnya ketika berbuka puasa sepanjang Ramadan.

“Tindakan tegas itu boleh diambil di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Tahun 2020.

“Kita faham dalam bulan Ramadan sudah menjadi kebiasaan masyarakat memilih berbuka puasa di luar rumah untuk mencari kelainan,” katanya pada kenyataan semalam.

Beliau juga berkata, selain mengenakan denda, kerajaan boleh mengarahkan tuan tanah atau pemegang konsesi menutup kawasan berkenaan kepada orang awam.

Menurutnya tindakan tegas perlu diambil kerana amaran telah berulang kali diberikan, namun perkara sama masih berlaku.

“Sekiranya tong sampah sudah penuh, mohon longgokkan bekas makanan di tepi tong untuk memudahkan syarikat konsesi membuat pungutan,” ujarnya.

Beliau turut berharap orang ramai menjaga kebersihan di tempat awam dan membuang sampah ke dalam tong yang disediakan bagi memastikan suasana Ramadan kekal bersih dan harmoni.


Post a Comment

0 Comments