TANAH MERAH: Rakyat di jajahan ini dan kawasan sekitarnya berpeluang berbuka puasa dengan pimpinan kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat sempena program Iftar Jamaei pada petang Jumaat ini.
Program berkenaan diadakan sempena sambutan Nuzul al Quran, yang bermula dengan solat Asar berjemaah.
Acara kemuncak ceramah Badar Kubra selepas solat Tarawih bertempat di Qariah Ramadan Majlis Daerah Tanah Merah. Program terbabit dianjur Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN).
Tadarus al Quran akan dipimpin anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Bentara Setia Prof Dato' Emeritus Dr Johari Mat.
Dijangka kira-kira 5,000 rakyat Kelantan akan menyertai iftar bersama pimpinan kerajaan negeri.
Selepas solat Isyak berjemaah akan diadakan solat Tarawih yang akan diimamkan Syeikh Hesyam Abdelbary Rageh, seorang qari yang berasal dari Mesir.
Program terbabit berakhir dengan ceramah Badar Kubra, akan menampilkan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Selain itu ahli parlimen Marang Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.
Sehubungan itu UPKN menjemput orang ramai menghadiri program berkenaan untuk berbuka puasa bersama pimpinan kerajaan negeri dan mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di Asia Barat sekarang.
Hari ini Dewan Rakyat membentang usul membantah keganasan Amerika Syarikat dan zionis Israel ke atas Iran sehingga boleh mencetus peperangan skala besar di rantau tersebut.


0 Comments