Dun anjur rumah terbuka Aidilfitri di parlimen Kota Bharu

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Kota Bharu akan diadakan secara berasingan pada Syawal ini melibatkan Dun Bunut Payong, Tanjong Mas dan Kota Lama.

Sambutan di Dun Tanjong Mas dijadualkan pada 26 Mac ini akan diadakan di Kompleks Masjid Ridhuddin, Wakaf Mek Zainab. Rumah terbuka Dun Kota Lama 2 April di Gelanggang Seni.

Manakala Dun Bunut Payong pula pada 7 April di kediaman rasmi Menteri Besar (JKR 10).

Yang Dipertua PAS Kota Bharu Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, tahun ini tidak akan diadakan secara berpusat seperti sebelumnya, sebaliknya dilaksanakan secara berasingan di setiap Dun.

“Keputusan itu dibuat susulan pertindihan pelbagai program sepanjang April termasuk Ijtimak Ulama Sedunia yang akan diadakan pada 7 hingga 10 April di Terengganu,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan sempena Aidilfitri di Wisma PAS Kota Bharu semalam.

Pada majlis itu hampir 100 pegawai dan petugas parti menerima sumbangan.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas parti atas komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Kata beliau komitmen yang ditunjukkan termasuk bekerja tanpa mengira masa, tenaga dan harta menjadi kekuatan memastikan gerak kerja parti berjalan dengan lancar.

“Pengorbanan petugas parti itu amat penting dalam memastikan khidmat kepada masyarakat dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments