KOTA BHARU: Pelaksanakan
kaedah mod kuning berkelip di persimpangan lampu isyarat di beberapa lokasi di Kelantan diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, langkah itu bagi melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan memandangkan berlaku peningkatan kenderaan.
Katanya, beberapa lampu isyarat akan ditukar kepada mod kuning berkelip di lokasi tertentu bagi memastikan pergerakan trafik lebih lancar.
“Pelaksanaan itu bertujuan memastikan aliran trafik tidak terhenti sepenuhnya ketika lampu merah, sebaliknya kenderaan boleh bergerak secara berterusan.
“Bagaimanapun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa penuh terhadap kawalan aliran trafik dan undang-undang jalan raya,” katanya pada sesi sembang santai dikendalikan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan semalam.
Menurutnya keputusan untuk menukar mod lampu isyarat berkelip kuning dibuat berdasarkan penilaian teknikal oleh pihak berkuasa berkaitan.
Kata beliau penyelarasan dibuat melalui mesyuarat bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Katanya perbincangan tersebut melibatkan aspek keselamatan laluan, pengurusan kesesakan serta langkah pencegahan kemalangan.
“Kerajaan negeri dan PBT menyokong keputusan tersebut bagi memastikan kelancaran perjalanan orang ramai sepanjang musim perayaan.
“Lampu kuning berkelip bukan bermaksud boleh diabaikan, sebaliknya memerlukan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan,” ujarnya.
Beliau juga berkata, walaupun terdapat perbezaan pelaksanaan di beberapa lokasi, langkah itu merupakan antara kaedah terbaik bagi mengurangkan kesesakan.
Beliau turut menasihati orang ramai khususnya perantau yang pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga supaya menjaga keselamatan di jalan raya.
“Pandu dengan selamat, jika mengantuk atau dalam keadaan penat, berehat terlebih dahulu,” tambahnya.



0 Comments