Jemaah ulama teliti pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019 kini di peringkat akhir penelitian sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan dijangka April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, draf pindaan enakmen tersebut diteliti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), khususnya di peringkat jemaah ulama bagi semakan lanjut.

Katanya, selepas proses penelitian itu selesai, cadangan pindaan berkenaan akan dibawa semula ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum dimuktamadkan untuk dibawa ke sidang Dun.

“Jika tiada perubahan sebagaimana dimaklumkan sebelum ini oleh Pengerusi Lajnah Undang-Undang yang juga Timbalan Menteri Besar, ia dijangka dilaksanakan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Perdana Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri bersama petugas media di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Dun Kelantan meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam enakmen tersebut yang diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 9 Februari 2024.

Keputusan itu dibuat oleh panel sembilan hakim yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 selepas membenarkan petisyen difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Mohd Asri berkata, sebahagian besar penyediaan pindaan tersebut sudah siap tahun lepas, namun masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penambahbaikan sebelum dimuktamadkan.

Menurut beliau, proses penelitian itu melibatkan kajian oleh pelbagai pihak berautoriti dalam kerajaan negeri termasuk mufti, jemaah ulama serta panel peguam yang dilantik.

“Perkara berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan satu pelan tindakan akan disediakan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments