KOTA DARULNAIM, 10 MAC - Program santai seperti “Make Colek” mampu memperkukuh hubungan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad berkata, aktiviti santai seumpama itu menghidupkan suasana komuniti dan menjadi ruang untuk masyarakat saling bertegur sapa serta mengenali antara satu sama lain.
Menurutnya, program yang diadakan dalam suasana sederhana itu turut menonjolkan nilai kebersamaan, muafakat dan semangat perpaduan yang menjadi kekuatan masyarakat di negeri ini.
“Dalam kesederhanaan program ini, terserlah nilai kebersamaan, muafakat dan semangat perpaduan yang sekian lama menjadi kekuatan kita.
“Inilah wajah sebenar masyarakat Kelantan yang hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati serta berkongsi kegembiraan bersama,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Terdahulu, beliau menghadiri Program “Make Colek” Perpaduan anjuran Pusat Khidmat Dewan Negeri (DUN) Galas yang berlangsung di tapak parkir hadapan Bank Muamalat Gua Musang, pada Ahad.
Turut hadir Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Mohd Tarmizi Abd Rahman.
Program tersebut berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat setempat daripada pelbagai kaum yang bersama-sama memeriahkan malam Ramadan.
YB Zamakhshari turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Khidmat DUN Galas atas jemputan dan usaha menganjurkan program yang menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh kemesraan.
Beliau berharap usaha memperkukuh perpaduan melalui program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat dan negeri Kelantan.




0 Comments