Kelantan hargai 9,055 anggota keselamatan bertugas 1 Syawal

 

Oleh Salmah Mat Husain | Foto Asri Hazim |

KOTA BHARU: Seramai 9,055 anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada 1 Syawal di Kelantan bakal menerima bingkisan hari raya sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka.

Pengerusi Pertubuhan Amal Dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kerajaan Kelantan (Purnama), Datin Wan Nor Hanita Wan Yakub berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menghargai komitmen tinggi anggota keselamatan.

Katanya, mereka tidak dapat bersama keluarga pada 1 Syawal kerana terpaksa menjalankan tugas.

Menurutnya juga urusan penyediaan dan pembungkusan bingkisan raya diamanahkan kerajaan negeri kepada Purnama melalui operasi khas yang bermula 18 Februari lepas.

“Pembungkusan kuih raya turut melibatkan lapan amilin Madinah Ramadan. Kuih Aidilfitri untuk meraikan dan menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan.

“Ia juga sebagai tanda terima kasih kerajaan negeri kepada anggota pasukan keselamatan yang memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, antara agensi yang akan menerima kuih raya termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Markas 8 Briged, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.

Turut menerima bingkisan raya Pusat Pemulihan dan Penagihan Narkotik di Kota Bharu, Bachok dan PUSPEN, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia serta agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara.

"Sumbangan tersebut diharap dapat menyuntik semangat kepada anggota keselamatan yang berkhidmat ketika umat Islam menyambut Hari Raya bersama keluarga," katanya.

Sumbangan berkenaan akan diserahkan kepada wakil-wakil pasukan keselamatan pada 12 Mac ini di Kota Darulnaim.

Post a Comment

0 Comments