Tubuh badan bebas siasat tekanan kerja doktor pelatih

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan PAS Pusat mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuh badan bebas bagi menyiasat secara menyeluruh kejadian seorang doktor pelatih meninggal di bilik asrama hospital Jumaat lepas.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, siasatan hendaklah dibuat merangkumi faktor persekitaran kerja, beban tugas dan sistem sokongan doktor pelatih.

Katanya, siasatan tidak terhad kepada aspek perundangan semata-mata, sebaliknya turut menilai faktor sistemik yang mungkin menyumbang kepada tekanan mental dalam kalangan pegawai perubatan.

Katanya panel siasatan hendaklah melibatkan pihak berkecuali, termasuk wakil badan profesional perubatan, pakar kesihatan mental dan organisasi berkaitan dalam proses siasatan tersebut.

“Pihak terbabit hendaklah mengemukakan laporan serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan mental dan persekitaran kerja yang lebih sihat untuk semua petugas kesihatan,” katanya pada kenyataan.

Media baru-baru ini melaporkan seorang doktor pelatih meninggal dunia di bilik asrama Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Dr Ahmad Yunus berkata, Lajnah Kesihatan PAS Pusat memandang serius laporan yang tular berkaitan tekanan kerja dan keadaan persekitaran latihan pegawai perubatan di hospital kerajaan.

Menurutnya isu kesejahteraan mental dalam kalangan doktor pelatih bukan perkara baharu dan telah lama menjadi kebimbangan dalam sistem kesihatan negara.

“Rakyat pernah dikejutkan dengan kejadian bunuh diri seorang doktor hamil empat bulan di Shah Alam pada tahun 2023 dan seorang pakar patologi di Lahad Datu pada tahun 2024.

“Pemergian seorang doktor pelatih muda pada usia yang muda merupakan satu tragedi yang amat menyedihkan dan memberi kesan mendalam kepada seluruh warga kesihatan negara,” ujarnya.

Kata beliau juga sistem kesihatan negara perlu memastikan doktor muda yang berkhidmat untuk rakyat tidak terpaksa berhadapan dengan tekanan melampau tanpa sokongan mencukupi.

Beliau berkata, keadilan dan ketelusan dalam siasatan adalah penting demi menjaga kebajikan petugas kesihatan serta integriti sistem kesihatan negara.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan memberi kekuatan kepada seluruh ahli keluarganya.

“Lajnah Kesihatan PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah,” tambahnya.

 

Post a Comment

0 Comments