Kerajaan negeri sambut kepulangan anak perantau

 

Oleh Salmat Mat Husain |

PASIR PUTEH: Anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman melalui Bukit Yong sempena Aidilfitri ini akan disambut kerajaan negeri pada 18 Mac ini.

Adun Gaal, Ustaz Mohd Rodzi Jaafar berkata, perantau akan disambut di hadapan Balai Polis Bukit Yong bermula jam 6 petang sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak Kelantan yang pulang berhari raya bersama keluarga.

Katanya, juadah berbuka puasa turut disediakan kepada perantau yang akan melalui laluan khas.

“Antara juadah yang disediakan nasi, bubur lambuk serta maggi goreng,” katanya selepas Majlis Tadarus dan Iftar Perdana di Dataran Sungai Gaal, kelmarin.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Mohd Zawawi Salleh dan bekas Adun Gaal Dato' Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Program sambutan perantau diadakan kerajaan negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Yayasan Raja Shamri serta Pusat Khidmat Dun Gaal.

Mohd Rodzi berkata, setiap keluarga akan menerima tiga jenis makanan termasuk minuman yang disediakan APM.

Menurutnya juga perantau yang memasuki Kelantan melalui laluan Bukit Yong disedia lorong khas bagi memudahkan mereka mengambil juadah berbuka puasa.

Mohd Radzi turut menasihatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah dan sentiasa berhati-hati di jalan raya sepanjang musim perayaan.

“Apabila ramai orang pulang ke kampung, kita perlu bertoleransi di jalan raya dan tidak mementingkan diri sendiri sehingga boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anak-anak perantau supaya menjaga kebersihan dan imej anak Kelantan apabila berada di mana-mana tempat.

“Apabila kita singgah berbuka puasa di tepi jalan atau di luar, jangan tinggalkan sampah. Jaga kebersihan dan imej Kelantan,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments