![]() |
| Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man |
Oleh: Syamimi Manah
KUBANG KERIAN, 25 Mac – Landskap kuasa global kini menyaksikan peralihan bentuk penjajahan daripada dominasi ketenteraan kepada penguasaan ekonomi, teknologi dan rantaian bekalan yang semakin strategik.
Demikian kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi hantaran di laman rasmi, pada Isnin.
Menurutnya, pendekatan tersebut menjadi instrumen utama kuasa besar dunia untuk memperluas pengaruh tanpa perlu berdepan konflik bersenjata secara langsung.
“Penjajahan moden tidak lagi datang dalam bentuk ketenteraan, tetapi melalui kawalan ekonomi, teknologi, kawalan pasaran, dan standard antarabangsa,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkembangan geopolitik semasa termasuk ketegangan di Timur Tengah memperlihatkan bagaimana kawalan terhadap rantaian bekalan mampu menggoncang kestabilan ekonomi dunia.
“Situasi ini mengajar kita bahawa dalam era moden, kekuatan bukan sahaja terletak pada aset ketenteraan, tetapi keupayaan mengawal aliran bekalan. Apa yang boleh dibeli, dihantar, diproses, dan diganti apabila krisis meletup,” hurainya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penutupan Selat Hormuz oleh Iran memberi kesan ketara kepada pasaran tenaga global memandangkan laluan itu mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia.
Dalam masa sama, Dato' Sri Tuan Ibrahim menegaskan bahawa Rare Earth Elements (REE) kini muncul sebagai komoditi strategik baharu yang bakal mencorakkan keseimbangan kuasa global.
“Pasaran REE mungkin tidak sebesar minyak dari segi nilai dagangan harian ketika kini, tetapi ia akan berkembang menjadi besar pada masa hadapan, sesuai dengan perkembangan teknologi moden, daripada telefon pintar hinggalah kepada kenderaan elektrik, daripada turbin angin hingga radar dan sistem komunikasi ketenteraan,” ujarnya.
Tambahnya, China ketika ini menguasai ekosistem REE global secara menyeluruh, merangkumi aktiviti perlombongan hingga kepada penghasilan produk berteknologi tinggi.
“Mereka tidak lagi bercakap tentang siapa boleh melombong, tetapi siapa mengawal aliran bahan mentah dari perut bumi sampai ke industri bernilai tinggi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kebimbangan terhadap kebergantungan kepada sumber REE mendorong negara lain mengambil langkah strategik, termasuk usaha Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat yang bekerjasama dengan Lynas Rare Earths bagi mempelbagaikan sumber bekalan.
Dalam konteks Malaysia, beliau berkata negara memiliki potensi besar dengan anggaran sumber REE sekitar 16.1 juta tan metrik bernilai antara RM800 bilion hingga hampir RM1 trilion.
“Namun peluru itu hanya berguna jika kita memiliki dasar, ilmu, undang-undang, teknologi pemprosesan, dan keberanian politik untuk memastikan nilai tambah tidak keluar begitu sahaja,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan dasar “downstream-first” bagi memastikan aktiviti pemprosesan dan pembuatan produk bernilai tinggi dilaksanakan dalam negara.
“Eksport bukan haram, tetapi mesti berpandukan siapa pembeli, apa syarat teknologi, dan apa pulangan industri,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru agar pendekatan diplomasi mineral diperkukuh bagi membina jaringan kerjasama antarabangsa yang melindungi kepentingan nasional, selain memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara lestari serta mematuhi piawaian alam sekitar.

0 Comments