KUALA LUMPUR: "Serangan
yang tidak berhati perut ini harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh umat Islam
seluruh dunia.
"Kita menuntut agar segera dilaksanakan gencatan senjata dan heret penjenayah perang ke mahkamah Antarabangsa," kata Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.
Katanya, serangan yang dilancarkan Amerika Syarikat dan zionis Israel terhadap Iran perlu dibantah sekeras-kerasnya.
“Serangan itu sebagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.
"Kita menyeru semua negara negara Islam bersatu untuk selamatkan umat Islam di Palestin dan di seluruh dunia," katanya di sini.
Media antarabangsa melaporkan hampir 200 termasuk beberapa pimpinan tertinggi Iran serta kanak-kanak sekolah terbunuh pada serangan ganas Amerika Syarikat.
Selain itu beberapa kemudahan awam termasuk sekolah turut terjejas akibat pengeboman berkenaan.
Wisma Putra memaklumkan lebih 29,112 rakyat Malaysia dilapor berada di beberapa negara Timur Tengah dan berdepan kesukaran untuk pulang susulan ketegangan yang memuncak.
Antara negara yang terlibat Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Jordan.
Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, kerajaan Malaysia menyatakan komitmen untuk memantau rapat perkembangan semasa dan mengambil langkah sewajarnya.
“Kami berdoa semoga semua rakyat Malaysia yang berada di negara-negara terlibat berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.



0 Comments