Keputusan peperiksaan SMU, SMTQ, STUP meningkat

KOTA BHARU: Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencatat peningkatan kelulusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) yang diumum hari ini.

Peratus kelulusan bagi SMU/SMTQ mencatat 93.78 peratus iaitu meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya 92.18 peratus.

Manakala STUP mencatat kelulusan 89.80 peratus, meningkat 3.13 peratus berbanding 86.67 peratus pada tahun 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, secara keseluruhannya keputusan tahun ini menunjukkan peningkatan amat memberangsangkan.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha berterusan semua pihak dalam memperkukuh sistem pendidikan Islam di Kelantan, termasuk komitmen guru, kesungguhan pelajar serta sokongan padu ibu bapa.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon yang berjaya. Bagi yang belum mencapai kejayaan yang diharap, teruskan usaha dengan penuh kesabaran dan istiqamah.

“Semoga kejayaan ini menjadi asas dalam melahirkan generasi rabbani yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ummah dan negeri,” katanya pada kenyataan hari ini.

Sebelum itu beliau mengumumkan keputusan peperiksaan tersebut bagi tahun 2025 di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan. Hadir sama Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar.

Seramai 5,146 calon daripada 99 sekolah menduduki peperiksaan tersebut di 97 pusat peperiksaan di seluruh negara.


Post a Comment

0 Comments