KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mendoakan anggota pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan berada dalam selamat susulan serangan udara rejim Israel Jumaat lepas.
Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, anggota MALBATT menjalankan amanah besar di medan antarabangsa.
Katanya situasi tersebut membuktikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan pasukan yang profesional, berwibawa dan berani sebagai pasukan pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Keberadaan MALBATT di zon konflik yang semakin memuncak susulan perkembangan perang yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran memperlihatkan tahap keberanian serta pengorbanan yang tinggi demi memastikan keamanan sejagat,” katanya pada kenyataan hari ini.
Media melaporkan awal pagi Jumaat lepas Israel Defence Forces (IDF) menyerang selatan Lubnan, berhampiran kedudukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di kawasan operasi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).
Serangan pertama dilapor berlaku kira-kira jam 2.35 pagi waktu tempatan 13 Mac, dengan jarak antara 100 hingga 200 meter dari Pos Kawalan MALBATT 850-13.
Afnan Hamimi berkata, Pemuda PAS Malaysia merakamkan doa dan solidariti bersama anggota pasukan MALBATT di Lubnan.
Menurutnya juga Pemuda PAS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga ATM yang sentiasa bertugas mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
“Ketika rakyat Malaysia sedang membuat persiapan untuk menyambut hari kemenangan Aidilfitri, mereka berada di barisan hadapan memikul tanggungjawab menjaga keselamatan tanah air,” katanya.
Penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh anggota keselamatan dan agensi barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Selain itu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), petugas kesihatan, serta seluruh agensi lain yang terus berkhidmat tanpa mengenal penat lelah demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendoakan keselamatan anggota keselamatan negara, menghargai pengorbanan mereka serta mengekalkan semangat perpaduan dan solidariti nasional.
“Semoga Allah SWT melindungi para wira negara di mana jua mereka berada dan mengurniakan keamanan serta kesejahteraan kepada Malaysia,” ujarnya.




0 Comments