
KUALA TERENGGANU:
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tidak
sekadar berpeluk tubuh atau mengeluarkan kenyataan retorik berikutan
peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk.
Semalam media melaporkan seorang penunggang motosikal Amirul Hafiz Omar maut dipercayai akibat dirempuh pemandu mabuk sehingga jasadnya tercampak ke atas bumbung kenderaan.
Pada kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, motosikal yang ditunggang Amirul dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat, Kuala Lumpur.
Ustaz Mohd Nor berkata, kes Allahyarham Amirul Hafiz bukan sekadar statistik, sebaliknya ia merupakan kegagalan sistem penguatkuasaan yang tegas untuk mengekang ‘pembunuh’ di jalan raya.
Merujuk statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysian Institute Of Road Safety Research (MIROS), trend kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol berada pada tahap membimbangkan.
“Walaupun pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan telah dibuat, namun kekerapan kes yang berlaku menunjukkan seolah-olah tiada rasa gerun dalam kalangan pemandu mabuk.
“Siapa yang akan membela nasib balu dan anak-anak Allahyarham Amirul yang kini kehilangan nakhoda? Adakah kerajaan mahu membiarkan mereka terus merana tanpa pembelaan yang sewajarnya,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin Islam yang berada dalam kabinet Madani mengenai pesanan Saidina Umar al-Khattab RA yang sangat masyhur:
"Sekiranya seekor kambing mati di pinggir Sungai Furat kerana diabaikan, aku bimbang Allah akan menyoalku di akhirat kelak."
Menurutnya setiap titis darah yang tumpah akibat kelemahan tadbir urus akan dituntut di hadapan Allah SWT kelak.
“DUPP menegaskan bahawa isu pemandu mabuk memerlukan ketegasan tanpa kompromi. Kami menuntut keadilan buat Allahyarham Amirul Hafiz dan jaminan keselamatan buat seluruh rakyat Malaysia.
“Kita kehilangan seorang insan, dan yang lebih menyedihkan sebuah keluarga kehilangan ketua keluarga dan tempat bergantung punca rezeki.
“Kami mendoakan agar roh Allahyarham dicurahkan rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan solihin,” ujarnya.


0 Comments