
Oleh Salmah Mat
Husain | Foto Asri Hazim
KOTA BHARU: Orang
ramai dinasihatkan menjaga kesihatan dan mengurangkan aktiviti luar, khususnya
pada waktu tengah hari jika tiada keperluan mendesak berikutan cuaca panas dan
kering sekarang.
Menteri Besar (MB) Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kemarau yang melanda Kelantan sekarang berada pada tahap agak membimbangkan sehingga boleh menjejaskan kehidupan rakyat.
Menurut beliau, cuaca panas melampau turut menyebabkan kejadian kebakaran kerap berlaku khususnya melibatkan kawasan semak samun yang kering.
“Ada juga kejadian berpunca daripada putung rokok yang dibuang perokok tanpa dipadam sepenuhnya, api kecil boleh merebak menjadi kebakaran besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pemberita pada majlis Hari Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam.
Beliau turut berkongsi pengalaman kejadian kebakaran yang berlaku secara tiba-tiba di kawasan semak berhampiran jalan ke Masjid Meranti baru-baru ini.
Kata beliau api tersebut dipercayai bermula secara kecil sebelum merebak dengan cepat akibat keadaan cuaca kering.
“Alhamdulillah, anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengawal kebakaran tersebut dengan baik,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka.
“Perokok diingatkan memastikan putung rokok dipadam sepenuhnya sebelum dibuang bagi mengelakkan sebarang risiko kebakaran. Namun sebaik-baiknya, elakkan merokok,” tambah beliau.
Beliau juga berkata, Dewan Ulamak PAS di peringkat kawasan akan menganjurkan solat sunat istisqa dalam masa terdekat sebagai usaha memohon hujan daripada Allah SWT.
Katanya, rakyat hendaklah terus berdoa supaya diturunkan hujan, di samping mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi cuaca panas yang berpanjangan.
Baru-baru ini media melaporkan Fasa Peralihan Monsun 2026 dijangka bermula pada 29 Mac dan berterusan sehingga Mei hadapan.
Ia menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut. Sepanjang tempoh tersebut membawa cuaca panas dan kering di utara semenanjung sehingga pertengahan April, diikuti ribut petir dan hujan lebat.


0 Comments