Ketua pembangkang baharu sebelum sidang Parlimen

Oleh: Salmah Mat Husain | Foto: Asri Hazim

KOTA BHARU: Pelantikan Ketua Pembangkang baharu dijangka dimuktamadkan sebelum persidangan Parlimen akan datang, di mana calonnya daripada PAS.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Dato Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemilihan itu mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen PN selaras dengan amalan biasa dalam kalangan parti pembangkang.

Menurutnya, proses itu sama seperti pelantikan Dato Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang hasil persetujuan bersama komponen PN.

'Jawatan tersebut masih disandang Dato Seri Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan yang di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad 1V, di sini, hari ini. 

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Dato Sri Tuan Tuan Man, Pesuruhjaya PAS negeri Dato Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Menteri Besar Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Pengerusi Bersatu Kelantan Dato Kamarudin Md Nor, wakil Gerakan serta wakil-wakil rakyat.

Takiyuddin juga berkata, pelantikan Ketua Pembangkang baharu perlu mendapat persetujuan parti-parti komponen PN melalui Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan itu.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Setiusaha Agung PAS berkata, PN bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Jentera PN sudah bersedia. Kita akan mengadakan majlis Aidilfitri di Melaka pada 11 April dan selepas itu gerakan pilihan raya akan bermula,” katanya.

Mengenai pemilihan calon kata beliau ia tidak menjadi isu dan akan dibincangkan bersama empat parti komponen dalam PN.

Post a Comment

0 Comments