Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 28 Mac – Tema ‘Set Kito Jange Ppecoh’ yang diketengahkan sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan tahun ini berjaya diterjemahkan secara kreatif menerusi hiasan gerai yang menarik, ceria dan mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata tema yang diangkat pada tahun ini membawa mesej besar agar masyarakat terus memelihara kesatuan, memperkukuh ukhuwah dan menghindari perpecahan.
“Tema ‘Set Kito Jange Ppecoh’ yang diketengahkan pada penganjuran kali ini berjaya diterjemahkan oleh 14 PAS Kawasan dan Dewan-dewan Negeri dengan hiasan yang menarik dan menceriakan khemah hidangan makanan masing-masing.
“Tahniah saya ucapkan kepada PAS Kawasan Tumpat yang merangkul johan gerai terbaik pada tahun ini,” katanya di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.
Beliau meluangkan masa menyantuni para hadirin termasuk golongan alim ulama, wakil-wakil agama serta pengamal media yang sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran program seumpama itu.
Beliau turut menzahirkan rasa terharu apabila dimaklumkan bahawa seawal pukul 10 pagi lagi, Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV mula dipenuhi rakyat Kelantan yang hadir bagi memeriahkan program berkenaan.
Beliau juga berterima kasih kepada ribuan hadirin yang bersepakat memberi kerjasama dalam mengekalkan suasana harmoni dan penuh muhibah sempena sambutan Aidilfitri yang serba sederhana namun tetap meriah itu.
Dalam ucapan khas Aidilfitri, beliau turut menegaskan bahawa penghayatan terhadap dasar Membangun Bersama Islam (PMBI) yang dibawa Kerajaan Negeri Kelantan mampu direalisasikan dengan lebih sempurna sekiranya nilai takwa yang dibentuk sepanjang Ramadan benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, pengamalan Islam secara syumul akan menatijahkan kehidupan bermasyarakat yang harmoni, sejahtera dan bahagia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas dan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perjalanan majlis.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua petugas dan para sukarelawan yang rata-ratanya dalam kalangan anak-anak muda yang membantu melicinkan perjalanan majlis,” ujarnya.





0 Comments