KOTA BHARU: Lebih 16 tahun lalu rakyat Kelantan keluar beramai-ramai menunaikan solat sunat Istisqa di Padang Perdana. Solat tersebut diimamkan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Turut kelihatan pada program yang diadakan pada jam 8.30 pagi 12 Mac 2010 penduduk bukan Melayu, sebagai memberi sokongan.
Hadir sama anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat. Bagaimanapun hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa.
Ketika itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah, tiba-tiba hujan turun agak lebat. Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.
Dan kini kemarau agak panjang berulang semula. Kali terakhir hujan turun menjelang sambutan pada Tahun Baru Cina pertengahan Februari lepas.
Sehingga sekarang
hampir dua bulan hujan tidak membasahi sebahagian besar bumi Kelantan, biarpun
paras Sungai Kelantan masih lagi di peringkat normal.
Biarpun cuaca agak mendung di Kota Bharu sejak dua hari lepas, namun hujan belum turun.
Ramai penternak di Kota Bharu turut melahirkan kegusaran kerana mereka semakin sukar untuk mendapat rumput bagi makanan lembu dan kambing.
Baru-baru ini Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyarankan masjid di seluruh negeri itu melaksanakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan.
Berikutan itu beberapa masjid menganjurkan solat sunat Istisqa termasuk Masjid Jamek Razaleigh Bandar Gua Musang.
Solat sunat Istisqa itu diadakan pada sebelah pagi di ruang terbuka masjid tersebut yang turut disertai jemaah wanita.
Pada pagi 6 Syawal lepas solat sunat Istisqa juga diadakan di Masjid Al-Hidayah Wat-Taqwa, Gual Tinggi, Rantau Panjang yang disertai penduduk dari Kampung Gual To'Deh dan Kampung Lubok Gong.
Menurut penduduk solat sunat Istisqa diadakan bagi memohon hujan selepas berhadapan kemarau sejak Januari lalu.
Media sebelum ini melaporkan lebih 1,000 penduduk terjejas kerana sumber air kering termasuk telaga dan sumber air bawah tanah.
Malah paras air Sungai Golok menurun di bawah paras normal. Pada Isnin lalu mencatat bacaan 3.26 meter iaitu 1.74 meter di bawah paras normal.
Kemarau juga menyebabkan paras air empangan Bukit Kwong di Rantau Panjang berada di bawah paras normal iaitu 15.47 meter berbanding paras normal 16.76 meter.
Di Bachok, penduduk dari empat kampung menunaikan solat sunat Istisqa baru-baru ini susulan kebakaran di tanah gambut sejak sebulan lalu.
Kebakaran memasuki fasa kedua selepas bermula pada 19 Februari lalu ketika musim kemarau bermula.





0 Comments