PASIR PUTEH: Kelantan akan mewujudkan dua pusat pengumpulan susu kambing (GMCC) yang bakal berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan susu kambing.
Usaha itu hasil kerjasama kerajaan Kelantan dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kewujudan GMCC memberi kelebihan besar kepada industri kambing tenusu di Kelantan.
Katanya, langkah itu sebagai usaha menyusun semula rantaian dari peringkat ladang ke pasaran secara lebih sistematik dan berpiawaian.
“Susu kambing yang dikumpulkan akan melalui proses kawalan kualiti yang lebih ketat. Ia dijangka dapat meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka peluang pasaran lebih luas.
“Selain itu dapat menghasilkan produk hiliran seperti yogurt dan keju,” katanya ketika merasmikan Majlis Gimik Penyerahan Bantuan Kambing Tenusu 2026 di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, di sini petang semalam.
Hadir sama Adun Limbongan, Nor Asilah Mohamed Zain; Adun Gaal, Ustaz Mohd Rodzi Jaafar; Adun Semerak, Norsham Sulaiman dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Dr Yahasmida Yaacob.
Menurutnya juga GMCC akan diwujudkan di Pasir Puteh dan Ketereh yang dibangunkan melalui kerjasama dengan ECERDC melibatkan kos lebih RM3 juta.
Kata beliau pusat berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada April ini dan memerlukan bekalan maksimum 1,000 liter sehari serta sekurang-kurangnya 300 liter sehari untuk beroperasi.
Beliau berharap projek tersebut mampu memperkukuh industri kambing tenusu sekali gus dapat meningkatkan pendapatan penternak.
“Kejayaan peserta akan menjadi penanda aras keberkesanan program projek ini yang akan memberi impak besar kepada pembangunan industri penternakan negara.
"Insya-Allah, semoga projek ini diberkati dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat," katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri menambah peruntukan sebanyak RM210,000 kepada tujuh Dun terpilih bagi pembinaan kandang kambing yang lebih lestari dan sistematik.
Katanya, setiap Dun menerima peruntukan RM30,000 bagi memastikan pembinaan kandang mematuhi spesifikasi yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.
“Pembinaan kandang mengikut piawaian amat penting bagi memastikan bekalan susu kambing yang dihantar ke pusat pengumpulan menepati standard yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya juga projek pembinaan kandang tersebut turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri sebagai agensi teknikal dalam aspek kesihatan haiwan dan pematuhan piawaian.
Selain itu, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan menyediakan sokongan perancangan ekonomi, manakala Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd menggerakkan pembangunan rantaian bekalan termasuk penyediaan sumber makanan ternakan serta sokongan teknologi.


0 Comments