Rakyat tunggu PN terajui Selangor

 

                

TANAH MERAH: Bersatu yakin kepemimpinan baharu Perikatan Nasional (PN) di bawah Dato’ Seri Ir Dr Samsuri Mokhtar mampu melonjatkan pengaruh gabungan parti tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Afiq Bahardin berkata, pelantikan Menteri Besar Terengganu sebagai pengerusi baharu diharap dapat memantapkan lagi PN.

Katanya, Bersatu memberi komitmen untuk terus bersama PN kerana pakatan parti tersebut menjadi harapan rakyat.  

“Lebih-lebih lagi PN di Selangor menjadi harapan rakyat,” katanya pada ceramah Badar Kubra dan Nurul al Quran di Qaryah Ramadan Majlis Daerah Tanah Merah malam tadi. 

Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, anggota-anggota Exco Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Dato’ Rohani Ibrahim dan Zamaskhari Muhammad.

Turut hadir ahli parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof; Adun Bukit Panau, Dato’ Abdul Fattah Mahmood dan wakil-wakil rakyat.

Program tersebut bermula dengan solat Asar berjemaah, kemudian diikuti tadarus al Quran, iftar, solat Maghrib dan solat Tarawih yang diimamkan qari dari Mesir Syeikh Hissam.

Dr Afiq yang juga Adun Taman Medan Selangor berkata, PN sekarang mempunyai seramai 22 Adun di Selangor, yakni kurang tujuh orang lagi bagi membolehkan membentuk kerajaan.

Katanya, daripada jumlah 22 Adun terbabit seramai 12 daripada Bersatu dan 10 lagi dari PAS. Dewan Undangan Negeri Selangor memiliki 56 kerusi.

Katanya, rakyat Selangor amat mengharap PN mengambil alih teraju kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang memandangkan banyak isu yang gagal diselesaikan kerajaan sekarang.

Antaranya masalah sampah yang berlarutan sehingga sekarang, pembinaan kuil secara haram, penternakan babi dan pemilikan harta orang Melayu di kawasan bandar.

“Sehingga sekarang tidak sampai 30 peratus orang Melayu memiliki rumah dan bangunan kedai di kawasan bandar di Selangor.

“Ini kerana harga rumah begitu mahal. Contohnya di kawasan saya di Dun Taman Medan Petaling Jaya harga rumah seluas 800 kaki persegi lebih RM400,000 seunit.

“Cuba kita bayangkan kalau Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilulus, sudah tentu orang Melayu semakin sukar memiliki rumah di bandar,” katanya.

Rang Undang-Undang URA yang dicadangkan kerajaan menurunkan ambang persetujuan pemilik iaitu 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun atau kurang, 75 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun dan 51 peratus bagi hartanah terbengkalai atau daif.

Cadangan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam Malaysia dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang bimbang ia memberi kuasa majoriti menekan minoriti.

Persatuan Pembeli Rumah Malaysia (HBA) pula menekankan perlindungan hak perlembagaan dan keperluan pampasan yang setimpal.

Dr Afiq berkata, masalah penternakan babi di Selangor perlu ada undang-undang bagi mengawal industri tersebut.

“Kerajaan negeri akhirnya akur selepas ditegur Sultan Selangor. Sedangkan sebelum ini kerajaan negeri cuba menyalahkan pembangkang,” katanya.

Pada awal Januari lepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilapor murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat.

 

 

Post a Comment

0 Comments