![]() |
| Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 9 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkukuh ketelusan penyampaian maklumat kepada rakyat apabila sidang media selepas Mesyuarat Exco kini dijadikan amalan tetap bagi memastikan setiap keputusan kerajaan disampaikan secara jelas dan tepat.
Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata kerajaan negeri menganggap rakan media sebagai sebahagian daripada keluarga strategik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Menurutnya, komitmen tersebut dizahirkan melalui pelaksanaan sidang media setiap minggu selepas Mesyuarat Exco yang lazimnya diadakan padai Rabu.
“Saya berjanji untuk mengadakan sidang media setiap kali selepas Mesyuarat Exco pada hari Rabu dan alhamdulillah perkara itu berjaya dilaksanakan secara konsisten. Timbalan Menteri Besar Kelantan juga diwajibkan memberi kenyataan media selepas mesyuarat. Sekiranya beliau tidak dapat hadir, maka saya sebagai Exco Penerangan akan tampil berhadapan dengan rakan media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Iftar Perdana Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bersama Media yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 60 pengamal media dari pelbagai agensi bagi mengeratkan hubungan strategik antara pemimpin kerajaan negeri, jabatan media rasmi Negeri Kelantan dan rakan media arus perdana.
Dalam pada itu, YB Mohd Asri berkata kerajaan negeri turut mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi bagi membincangkan kaedah terbaik memastikan maklumat berkaitan dasar dan isu semasa dapat disampaikan secara tepat kepada rakyat dalam konteks masyarakat majmuk.
Menurutnya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) turut mempengaruhi cara naratif maklumat dibentuk, justeru peranan media menjadi semakin penting dalam memastikan laporan yang disampaikan bersifat seimbang dan bertanggungjawab.
“Dalam era AI, naratif maklumat turut berubah. Oleh itu media perlu memainkan peranan penting untuk memperbetulkan keadaan dan tidak menambah unsur yang boleh menghangatkan isu semasa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini 84 peratus manifesto Kerajaan Negeri Kelantan telah berjaya dilaksanakan sepanjang tiga tahun pentadbiran semasa.
“Kita berharap pencapaian itu dapat ditingkatkan kepada 100 peratus atau sekurang-kurangnya 95 peratus menjelang tempoh lima tahun pentadbiran di bawah strategi Pembangunan Membangun Bersama Islam (PMBI),” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri sentiasa menyesuaikan pendekatan pentadbiran dengan senario semasa bagi memupuk penyatuan masyarakat serta mengelakkan sebarang bentuk perpecahan.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Hanifulfuad Hussin dan Presiden Kelab Media Darul Naim (KEMUDI) Yatimi Abdullah.


0 Comments