![]() |
| Presiden Kelab Media Darulnaim (KEMUDI) Yatimi Abdullah |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 9 MAC – Pengamal media di Kelantan menzahirkan penghargaan kepada Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, atas usaha beliau memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan media.
Presiden Kelab Media Darulnaim (KEMUDI) Yatimi Abdullah berkata, pelbagai pembaharuan dilakukan sejak YB Mohd Asri menerajui portfolio Penerangan, sekali gus memudahkan wartawan mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya antara inisiatif penting yang diketengahkan oleh YB Mohd Asri ialah penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bagi meraikan pengamal media.
Menurutnya, YB Mohd Asri merupakan antara individu yang mencetuskan idea sambutan tersebut bagi menghargai peranan wartawan.
“Program HAWANA sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur dan difahamkan tahun ini ada cadangan untuk diadakan di Kelantan dengan kerjasama beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah dan Terengganu,” katanya ketika berucap di Majlis Iftar UPKN bersama bersama Media di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Selain itu, beliau berkata, YB Mohd Asri turut menjadi pemudah cara kepada pihak media terutama ketika menunggu mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Katanya, sebelum ini wartawan sering menunggu lama tanpa kemudahan yang mencukupi, namun kini makanan dan minuman turut disediakan kepada pengamal media yang membuat liputan mesyuarat berkenaan.
“Kerajaan negeri juga menyediakan kerusi untuk kemudahan wartawan menunggu sehingga mesyuarat Exco selesai, berbanding sebelum ini yang terpaksa menunggu tanpa kemudahan yang selesa,” jelasnya.
Tambahnya, setiap kali mesyuarat Exco kini turut disusuli sidang media bagi memudahkan wartawan mendapatkan maklumat terkini daripada kerajaan negeri.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, bersama barisan Exco sekarang, terdapat perubahan yang dianggap positif dalam penyampaian maklumat kepada media.
“Sekiranya Exco lain mempunyai urusan, YB Mohd Asri tetap akan menunggu bagi memberikan sidang media mengikut portfolio berkaitan supaya wartawan tetap mempunyai bahan berita,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kebanyakan organisasi media kini melalui proses pengecilan operasi sehingga menyebabkan jumlah wartawan tetap semakin berkurangan, manakala sebahagian besar yang membuat liputan ialah wartawan sambilan.
Sehubungan itu, katanya, sidang media yang konsisten selepas mesyuarat Exco amat membantu pengamal media mendapatkan bahan berita untuk disampaikan kepada masyarakat.
Dalam masa sama, beliau berharap hubungan erat antara media Kelantan dan kerajaan negeri dapat terus diperkukuh demi memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat.
“Peranan media bukan untuk membenci atau menyerang, sebaliknya teguran yang dibuat adalah ikhlas bagi memastikan wujudnya semak dan imbang antara pengamal media dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar satu sesi ramah mesra bersama Menteri Besar Kelantan dapat diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara pengamal media dan kepimpinan kerajaan negeri.
Sementara itu, Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN), Razuan Awang Hamad dalam ucapan alu-aluannya berkata, program berbuka puasa kepimpinan kerajaan negeri bersama media menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakan-rakan media di Kelantan.
![]() |
| Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN), Razuan Awang Hamad |
Menurutnya, komitmen pengamal media yang hadir pada majlis berkenaan amat dihargai kerana ia mencerminkan semangat kerjasama dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Komitmen tuan puan yang menghadiri majlis pada petang ini membuktikan semangat kebersamaan dengan kepimpinan kerajaan negeri, insya Allah mudah-mudahan akan menghasilkan natijah yang terbaik dalam penyaluran naratif berita yang positif terhadap kerajaan negeri,” katanya.


0 Comments