Skuad Bantu terima lebih 60 panggilan kecemasan, perantau pulang selamat


Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 24 Mac – Operasi Skuad Bantu Aidilfitri 2026 merekodkan lebih 60 panggilan kecemasan sejak dilancarkan, sekali gus membuktikan kecekapan pasukan sukarelawan dalam memastikan kelancaran perjalanan perantau pulang ke kampung halaman dengan selamat menjelang Syawal.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, operasi yang digerakkan di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri itu memberi tumpuan kepada laluan utama dari sempadan Gua Musang hingga ke Kampung Telekong, Machang, khususnya pada waktu malam ketika kebanyakan bengkel kenderaan tidak beroperasi.

“Skuad Bantu menyediakan bantuan segera kepada pengguna jalan raya termasuk perantau, meliputi pembaikan kerosakan kecil serta bantuan kehabisan minyak.


"Pasukan ini dilengkapi peralatan mencukupi dan anggota mahir bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Menurutnya, dalam situasi tertentu, pasukan turut membantu menghantar perantau ke destinasi masing-masing sebelum urusan kenderaan yang rosak diselesaikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Skuad Bantu sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Aidilfitri yang diadakan pada 17 Mac lalu.

Tambahnya, sejak 19 Mac, operasi berkenaan berjaya menyelesaikan lebih 20 kes kerosakan kecil di lokasi kejadian, manakala lebih 10 kes lain melibatkan kenderaan yang perlu ditunda ke bengkel.


Operasi tersebut meliputi kawasan utama di jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah dengan pembahagian zon secara sistematik bagi mempercepatkan respons bantuan. Kuala Krai berfungsi sebagai pusat ‘check point’ utama bagi menyelaras pergerakan serta penugasan pasukan di lapangan.

Lebih 100 sukarelawan terlibat dalam operasi kali ini merangkumi penyertaan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Taskforce Kuala Krai – Unit Bantu, Barracuda Adventure Team, Lacar Group, Jabatan Amal, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai, Kembara BAT Supporter, Jembal 2 Towing dan AP Towing.

Skuad tersebut diketuai Pengarah Skuad Bantu, MD Zaidi Mat Rashid bersama Timbalan Pengarah, Muhammad Asrul Muhammed yang memainkan peranan penting dalam menyelaras gerak kerja sepanjang musim perayaan.

Sementara itu, Muhammad Asrul berkata, kerjasama erat antara NGO dan sukarelawan membuktikan semangat kesukarelawanan masyarakat yang tinggi dalam membantu mereka yang memerlukan.


“Selain bantuan teknikal seperti membaiki kenderaan dan perkhidmatan tunda, inisiatif ini mencerminkan keprihatinan rakyat dalam memastikan setiap perantau dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat sebelum tibanya Syawal,” katanya.

Dalam pada itu, YB Hilmi turut menyeru pengguna jalan raya agar sentiasa berhemah dan mematuhi peraturan bagi mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan.

Operasi Skuad Bantu Aidilfitri 2026 diteruskan sehingga pagi 1 Syawal 1447.

Post a Comment

0 Comments