Produk minyak-gas Kelantan tembusi pasaran antarabangsa

Oleh Aslani M |

KOTA BHARU: Syarikat yang berpangkalan di Kelantan mampu menembusi rangkaian bekalan huluan industri minyak dan gas di dalam negeri dan peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebuah syarikat beroperasi di Pengkalan Chepa membekalkan bahan kimia (proprietary chemical) bagi operasi penggerudian untuk pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Katanya, pencapaian itu membuktikan kemampuan syarikat yang beroperasi di Kelantan membekalkan produk bagi keperluan syarikat pengeluaran minyak dan gas.  

Selain itu, Kelantan Ventures Sdn Bhd (KVSV) menyokong beberapa inisiatif komersial dalam usaha memperkukuh penyertaan Kelantan dalam industri petroleum dan gas.

“Saya boleh ceritakan sebahagian daripada apa yang telah dilakukan Kelantan Ventures,” katanya ketika menjawab soalan Mohamad Nasriff Mohd Daud (PAS-Pengkalan Pasir) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, Petronaim Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kelantan pula membangunkan sebuah minor fabrication yard di Tok Bali.

Menurutnya syarikat itu melaksanakan kerja-kerja fabrikasi serta penyelenggaraan di seven chevron, kapal-kapal dan terminal atau kawasan yang melibatkan penggerudian petroleum dan gas.

“Inisiatif ini memperkukuhkan kapasiti industri fabrikasi. Kami menyediakannya dengan penuh teliti supaya setiap perancangan menjadi kenyataan,” ujarnya. 

Menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Mohd Shahbuddin Hashim (BN-Galas) katanya, perjanjian antara kerajaan Kelantan dan Petronas pada 1974 serta Akta Pembangunan Petroleum sangat jelas dan ia perlu dipatuhi.

Malah, pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah juga menyebut perjanjian itu boleh difahami sesiapa sahaja termasuk pelajar.

“Even dia kata pelajar darjah empat pun boleh faham hak rakyat negeri Kelantan. Kita sekarang berusaha secara diplomasi. Mudah-mudahan apabila kita pegang kerajaan Persekutuan nanti ia diharap lebih mudah,” kata beliau.

Menurutnya juga kerajaan Persekutuan perlu menghormati hak negeri kerana tidak ada wilayah tersebut (Malaysia) kalau tidak ada Kelantan.

 

 

Post a Comment

0 Comments