![]() |
| Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud |
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 24 Mac 2026 – Kerajaan Negeri Kelantan menggesa pemimpin negara-negara Islam supaya menyuarakan pendirian secara tegas di peringkat antarabangsa bagi memastikan hak umat Islam untuk beribadah di Masjidil Aqsa terus terpelihara.
Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud berkata, tindakan diplomatik dan suara kolektif dunia Islam amat diperlukan susulan penutupan masjid suci tersebut yang dilaporkan berlarutan selama 24 hari.
Menurutnya, situasi berkenaan amat membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila umat Islam dikatakan tidak dibenarkan menunaikan solat Aidilfitri di Masjidil Aqsa buat pertama kali dalam tempoh puluhan tahun.
“Penutupan ini bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, bahkan merupakan satu tindakan yang tidak boleh dipandang ringan. Masjidil Aqsa adalah simbol kesatuan dan maruah umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, gesaan secara konsisten dan menyeluruh di pentas antarabangsa perlu diperkasakan agar isu tersebut mendapat perhatian global serta tindakan segera daripada pihak berkaitan.
“Suara negara-negara Islam perlu lebih tegas dan bersepadu bagi memastikan hak umat Islam untuk beribadah di masjid berkenaan tidak dinafikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam agar terus memperkukuh solidariti melalui pelbagai saluran termasuk doa, peningkatan kesedaran awam dan sokongan terhadap usaha kemanusiaan.
Katanya, perpaduan ummah menjadi asas penting dalam memastikan isu tersebut kekal mendapat perhatian dan tidak dilupakan.
“Kita perlu terus bersatu hati dan istiqamah dalam memperjuangkan pembukaan semula Masjidil Aqsa,” katanya.
Terdahulu, penularan maklumat mengenai penutupan masjid berkenaan di media sosial mencetuskan kebimbangan serta reaksi meluas dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

0 Comments