Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 25 Mac – Tiga keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Lorong Rela, Kampung Bunut Payong pada 1 Syawal lalu menerima sumbangan daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim, yang mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud dalam satu kunjungan ke lokasi kejadian, semalam.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman.
Dato’ Rohani berharap agar bantuan yang disalurkan dapat membantu meringankan kesulitan mangsa selain memberi sokongan moral kepada mereka untuk bangkit semula.
“Semoga Allah SWT menggantikan segala yang hilang dengan yang lebih baik serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan kebakaran yang berlaku pada pagi Aidilfitri, 21 Mac kira-kira pukul 8.27 pagi itu telah memusnahkan tiga buah rumah teres dua tingkat di Kampung Bunut Payong.
Dua daripada rumah terbabit musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sekitar 80 peratus.
Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni tiada di rumah ketika kejadian berlaku.
Walaupun bagaimanapun, Dato' Rohani menzahirkan simpati kerana memahami insiden tersebut telah menukar suasana sambutan Aidilfitri keluarga terlibat menjadi pilu apabila mereka kehilangan tempat tinggal dan harta benda.





0 Comments