Aidilfitri dalam cuaca panas, orang ramai diingatkan utamakan keselamatan


Oleh: Syamimi Manah

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Orang ramai diingatkan supaya mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga ketika menyambut Aidilfitri dalam keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, peningkatan suhu persekitaran boleh memberi kesan serius kepada kesihatan, termasuk risiko strok haba yang boleh membawa maut jika tidak ditangani segera.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian susulan laporan media mengenai beberapa kes strok haba, termasuk satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak yang tertinggal di dalam kenderaan.

“Tragedi ini bukan sekadar statistik tetapi adalah satu peringatan keras tentang betapa kritikalnya ancaman cuaca panas melampau terhadap fisiologi manusia,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau yang juga pengamal perubatan menjelaskan, tubuh manusia mempunyai had dalam mengawal suhu badan, dan apabila suhu meningkat melebihi tahap tertentu, fungsi organ penting seperti otak, hati dan buah pinggang akan terjejas.

Tambahnya, kanak-kanak merupakan golongan paling berisiko kerana sistem kawalan suhu badan mereka masih belum matang, menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada kesan cuaca panas melampau.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan anak-anak di dalam kenderaan walaupun untuk tempoh singkat, memandangkan suhu dalam kenderaan tertutup boleh meningkat dengan cepat ke tahap berbahaya.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya memastikan pengambilan air mencukupi, memakai pakaian ringan serta mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu puncak panas antara pukul 11 pagi hingga 4 petang.

Ahli Dewan Negara itu turut menggesa pihak berkuasa tempatan dan majikan agar menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, kawasan teduh serta waktu rehat mencukupi khususnya kepada pekerja yang terdedah kepada cuaca panas.

“Majikan juga perlu peka terhadap kebajikan pekerja yang bertugas di luar bangunan (outdoor) dengan menyediakan waktu rehat yang cukup di kawasan yang teduh,” ujarnya.

Beliau berharap semua pihak dapat mengambil langkah berjaga-jaga agar sambutan Aidilfitri kali ini kekal meriah dalam suasana yang selamat dan sejahtera.

Post a Comment

0 Comments