Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 29 MAC – Dalam keadaan cuaca panas berterusan serta ketiadaan hujan sejak kebelakangan ini, umat Islam diseru agar terus memperbanyakkan doa dan istighfar bagi memohon turunnya hujan rahmat daripada Allah SWT.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, situasi kemarau yang melanda ketika ini wajar dihadapi dengan meningkatkan amalan kerohanian, termasuk memperbanyakkan doa sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.
Menurut beliau, terdapat beberapa doa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika memohon hujan, antaranya yang diriwayatkan dalam hadis sahih.
Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda.
اللهُمَّ أَغِثْنَا، اللهُمَّ أَغِثْنَا، اللهُمَّ أَغِثْنَا
Yang bermaksud: “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami, Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami, Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, 1014)
Beliau menjelaskan, doa tersebut dibaca oleh Rasulullah SAW ketika Baginda sedang berkhutbah selepas menerima aduan mengenai ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama.
Selain itu katanya terdapat juga doa lain yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA:
اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا مُغِيثًا، مَرِيئًا مَرِيعًا، نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ
عَاجِلًا غَيْرَ آجِلٍ
Yang bermaksud: “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami secara merata, menyegarkan, menyuburkan tanaman, bermanfaat tanpa mudarat serta kami mohon agar diturunkan hujan dengan segera tanpa ditangguh.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, 1169)
Tambahnya, doa tersebut bukan sahaja memohon hujan, malah memohon agar hujan yang turun memberi manfaat tanpa menyebabkan kerosakan seperti banjir atau runtuhan.
Jelas beliau, satu lagi doa yang dianjurkan ialah:
اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ، وَبَهَائِمَكَ، وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ، وَأَحْيِ
بَلَدَكَ الْمَيِّتَ
Yang bermaksud: “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada hamba-hamba-Mu, binatang ternakan, luaskanlah rahmat-Mu dan hidupkanlah negeri-Mu yang mati.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, 1176)
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Islam dapat bersama-sama mengamalkan doa-doa ini serta memperbanyakkan istighfar sebagai usaha menghadapi ujian kemarau.
“Semoga dengan usaha dan doa kita semua, Allah SWT mengurniakan hujan rahmat serta mempermudahkan segala urusan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus bersabar dan berganding bahu menghadapi keadaan ini dengan penuh keinsafan dan kebergantungan kepada Allah SWT.
"Selamat beramal, semoga kita semua dapat mengharungi ujian ini bersama dan memohon agar Allah SWT mengutuskan hujan rahmat kepada kita semua. Selamat beramal," ujarnya.

0 Comments