TUMPAT: Rumah
Terbuka Aidilfitri Dun Pengkalan Kubor turut dihadiri wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan dari Takbai serta Narathiwat.
Antaranya wakil rakyat Takbai, Afendi Putih; Pegawai Daerah Takbai, Kritsada Suksabai; Ketua Polis Daerah Takbai, Pol Col Pakwad Wansanook; Ketua Jabatan Kastam, Napatsorn Tongting.
Turut hadir Ketua Imigresen Takbai, Pol. Sub Lt. Yahya Samad dan Pol. Sub Lt. Ramulee Samae serta pegawai Pasukan Marin Takbai, Pol. Sub Lt. Watchara Maengpracha.
Selain itu masyarakat Siam dan Cina tempatan turut memeriahkan rumah terbuka tersebut yang diadakan di Pantai Sri Tujoh, dekat sini semalam.
Pelbagai juadah disediakan termasuk nasi gulai kawah, takoyaki, mee kuah serta hidangan dari selatan Thailand.
Adun Pengkalan Kubor, Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, perbelanjaan rumah tersebut disumbang Unit Daerah Mengundi (UDM) di Dun Pengkalan Kubor dan Pusat Khidmat Dun.
Katanya, rumah terbuka tersebut mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.
“Majlis ini bukan sahaja meraikan Aidilfitri, tetapi menjadi medan mengukuhkan hubungan antara kaum serta mempererat ukhuwah,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Dun Pasir Pekan, Kelaboran dan Wakaf Bharu turut mengadakan rumah terbuka serentak semalam.
Dun Wakaf Bharu menganjurkan program itu pada sebelah malam bertempat di Taman Rekreasi Puteri Saadong.
Rumah Terbuka Dun Kelaboran diadakan di kediaman Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan. Manakala majlis Hari Raya Aidilfitri Dun Pasir Pekan diadakan di Wisma Ibaddurahman, Kampung Paloh.





0 Comments