Oleh Intan Lestari |
KOTA BHARU: Sempena
sambutan Hari Wanita Sedunia, kerajaan Kelantan terus berusaha mengangkat
martabat wanita bagi memperkukuhkan institusi keluarga serta menyokong peranan
wanita dalam pelbagai bidang.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Dato’ Rohani Ibrahim berkata, langkah itu diambil demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri.
“Semoga setiap wanita terus diberikan kekuatan, kesabaran dan keberkatan dalam menggalas amanah yang besar dalam kehidupan.
“Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia 2026. Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara,” katanya pada kenyataan semalam.
Tanggal 8 Mac setiap tahun disambut Hari Wanita Sedunia sebagai tanda penghargaan kepada peranan besar wanita dalam membina keluarga, masyarakat dan negara.
Rohani juga berkata, wanita bukan sekadar pelengkap kehidupan, bahkan menjadi tunjang kekuatan institusi keluarga, pendidik generasi dan penyumbang penting kepada pembangunan ummah.
Kata beliau dalam Islam, kedudukan wanita dimuliakan dengan peranan yang sangat besar dalam melahirkan generasi yang beriman, berilmu dan berakhlak.
“Sebagaimana sabda Nabi SAW bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu, menunjukkan betapa tingginya darjat wanita dalam Islam,” ujarnya.
Ketua Muslimat PAS Kelantan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff turut merakam penghargaan kepada seluruh wanita yang memainkan peranan besar dalam membina keluarga, memperkukuh masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Kata beliau wanita bukan sekadar pelengkap kehidupan, bahkan merupakan tonggak penting dalam pembinaan generasi.
“Dari rahim seorang wanita lahirnya pemimpin, ulama, pejuang dan insan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
“Sejarah Islam membuktikan bahawa wanita turut memainkan peranan besar dalam perjuangan dakwah. Wanita menjadi pendidik dalam keluarga, penyokong kepada perjuangan kebenaran serta penggerak kepada kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan,” ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau dalam menghadapi realiti dunia hari ini, wanita berdepan dengan pelbagai cabaran seperti keruntuhan nilai moral, tekanan ekonomi serta pengaruh ideologi yang cuba memisahkan wanita daripada nilai agama.
Oleh itu beliau mengajak wanita Islam terus memperkukuhkan jati diri, menuntut ilmu, memelihara akhlak serta memperkukuh kefahaman Islam agar mampu menjadi benteng kepada keluarga dan masyarakat.


0 Comments