KOTA DARULNAIM, 9 Mac – Sebanyak 1,200 armalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas menerima bantuan dalam Program Himpunan Armalah DUN Tanjong Mas Tahun 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh kasih sayang dan kebersamaan di Dewan Solat Madinah Ramadan, Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Jumaat lalu.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, program tersebut diadakan sebagai tanda keprihatinan serta penghargaan kerajaan negeri kepada golongan armalah yang banyak berkorban dalam meneruskan kehidupan serta membesarkan keluarga dengan penuh ketabahan.
Menurutnya, bantuan yang disampaikan diharap dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh golongan berkenaan.
“Bantuan yang disampaikan diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban dan memberi sokongan kepada mereka.
“Dalam Islam, menjaga kebajikan golongan armalah merupakan satu tanggungjawab besar masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.
Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa individu yang membantu dan mengurus kebajikan armalah akan memperoleh kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha berkenaan dapat memberi kekuatan, kesabaran serta keberkatan kepada para armalah dalam meneruskan kehidupan.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan serta sentiasa bersama dalam usaha menyantuni masyarakat.




0 Comments