Laporan media isu kepentingan awam bukan ancaman

KUALA LUMPUR: Dalam negara demokratik yang matang, respons terhadap laporan media seharusnya mengutamakan penjelasan dan ketelusan, bukannya tindak balas dengan mengekang penelitian awam.

Setiausaha Agung Peirkatan Nasional (PN) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN memandang serius laporan serbuan polis ke atas kediaman wartawan Malaysiakini, B. Nantha Kumar, berkaitan cadangan sistem pengambilan pekerja asing.

Katanya, sistem itu dikenali sebagai ‘The Universal Recruitment Advanced Platform’ (TURAP) melibatkan Kementerian Sumber Manusia.

“Berdasar laporan beberapa pegawai polis memeriksa kediamannya selama kira-kira 45 minit berdasarkan waran yang dikatakan berkait dakwaan pemilikan dokumen rasmi jemaah menteri.

“Turut dilaporkan tiada barangan atau dokumen dirampas dalam operasi tersebut,” katanya pada kenyataan.

Laman berita Malaysiakini semalam melaporkan polis menyerbu rumah wartawan B Nantha Kumar berkaitan siasatan terhadap laporan mengenai cadangan sistem pengambilan pekerja asing.

Menurut laporan itu dua pegawai polis berpakaian biasa tiba pada jam 2.30 petang dan menggeledah kediaman di Seri Serdang selama kira-kira 45 hari minit. Bagaimanapun, tiada barang dirampas semasa serbuan.

Takiyuddin berkata, perkembangan itu melampaui sosok seorang wartawan atau sebuah organisasi media semata-mata.

Menurutnya ia menimbulkan kebimbangan lebih luas mengenai isu-isu kebebasan media, tahap kewajaran tindakan penguatkuasaan serta ruang untuk wartawan melaporkan isu berkepentingan awam tanpa rasa takut atau tekanan.

“Turut dilaporkan kementerian terbabit diberikan ruang oleh portal terbabit untuk memberi penjelasan dan maklum balas terhadap laporan asal yang diterbitkan.

“Namun ia memilih untuk membuat laporan polis. Jika benar, tindak balas ini menimbulkan persoalan serius mengenai persoalan keadilan, keterbukaan serta kesesuaian penggunaan mekanisme penguatkuasaan dalam menangani laporan media,” ujarnya.  

Beliau juga berkata, sektor pengambilan pekerja asing di negara ini banyak dikaitkan dengan isu-isu ketelusan, peranan orang tengah, kos berlebihan serta kelemahan tadbir urus.

Oleh itu katanya sorotan media mengenai sebarang pembaharuan dalam sektor terbabit jelas berkepentingan awam, sah dan menuntut penelitian.

“PN menggesa pihak berkuasa memberi penjelasan mengenai asas tindakan tersebut memastikan hak-hak perlembagaan dihormati, selain menghindari langkah-langkah yang boleh mewujudkan kesan negatif ke atas peranan kewartawanan penyiasatan dan media amnya,” katanya.

Menurutnya juga Malaysia hendaklah kekal sebagai negara yang membolehkan salah laku disiasat dan pada masa yang sama, wartawan tidak pula dianggap sebagai ancaman kerana melaporkan isu berkepentingan awam.

 

Post a Comment

0 Comments