BANGKOK: Penduduk Melayu Islam di Bangkok cukup bertuah kerana mereka masih dapat mempertahankan bahasa ibunda, di samping menguasai bahasa Siam dan lain-lain bahasa.
Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, orang Melayu perlu mempertahankan bahasa sendiri kerana ia mencerminkan identiti setiap bangsa.
Katanya, orang Melayu tidak salah untuk menguasai bahasa lain, namun bahasa warisan sendiri tidak wajar dipinggirkan.
“Saya sukacita kerana orang Melayu di sini terutamanya golongan veteran masih lagi dapat mempertahankan bahasa ibunda mereka.
“Allah Taala menjadikan bahasa berbeza-beza berdasarkan sesuatu kaum sebagai tanda kekuasaan-Nya,” katanya pada perjumpaan dengan komuniti Muslim di Kampung Sungai Satu, Phatum Thani di sini hari ini.
Hadir sama pada perjumpaan itu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato’ Abdul Rahman Yunus; Adun Pantai Irama, Haji Huzaimy Che Hussin; Adun Chetok, Zuraidin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan, Dato’ Sr Zamri Ismail.
Selain itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Nazmi Ghazali Azmi; Pegawai Khas Menteri Besar, Dato’ Abdullah Ya’kob; pemimpin NGO di Bangkok, Che Nordin Che Hussin dan pemimpin masyarakat tempatan.
Menteri Besar juga berkata, sebelum ini seramai 12 pelajar dari Thailand belajar di sekolah agama di Meranti, Pasir Mas.
Kata beliau pelajar-pelajar terbabit berjaya menguasai bahasa Melayu dan ada dalam kalangan mereka melanjut pengajian sehingga ke luar negara.
“Kerajaan negeri sedia untuk membantu anak-anak orang Melayu di Bangkok yang berminat untuk belajar di Kelantan bagi membolehkan mereka menguasai bahasa Melayu di samping mendalami ilmu agama.
Menurutnya juga amalan menziarahi umat Islam yang berada di mana sahaja dapat mengeratkan silaturahim sesama ummah.
Katanya, apabila seseorang Islam merapatkan hubungan silaturahim akan dipermudahkan rezeki.
“Sebab itulah orang Islam yang suka berhijrah lebih berjaya dalam kehidupan mereka seperti yang datuk nenek penduduk Melayu di Bangkok yang berhijrah beratus tahun lalu dari selatan Thailand,” katanya.
Sempena kunjungan itu Menteri Besar Kelantan diberi kesempatan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Kaewnimit.
Masjid terbabit antara yang terbesar menempatkan komuniti Islam di Bangkok.
Menteri Besar dan rombongan dalam misi lawatan kerja di Bangkok pagi tadi mengunjungi hormat Pejabat Duta Malaysia ke Bangkok. Dan sebelah petang mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan Thailand Sabida Thaiseth.



0 Comments