Oleh A Rahman Haron |
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan merakam ucapan tahniah kepada Dato’ Seri Abdul Halim Aman di
atas perlantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) yang baharu.
Menteri Besar Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu bagi memperkukuhkan lagi agenda antirasuah negara.
Katanya, semoga amanah besar tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan keadilan demi kesejahteraan negara.
"Tahniah diucapkan kepada Dato’ Seri Abdul Halim Aman di atas pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026," katanya pada hantaran di laman sosialnya.
Media sebelum ini melaporkan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan Abdul Halim aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilapor berkata, pelantikan itu selari dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM selepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan senarai calon.
Sementara itu Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan tersebut bukan sekadar meneruskan peranan, sebaliknya memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berwibawa.
“Saya menegaskan bahawa tanggungjawab ini menuntut keberanian moral yang tinggi untuk bertindak tanpa gentar, tanpa pilih kasih dan tanpa tunduk kepada sebarang tekanan politik atau kepentingan tertentu.
“SPRM tidak boleh sama sekali dilihat apatah lagi dijadikan alat mana-mana pihak. Rakyat sedang memerhati,” ujarnya pada kenyataan.
Menurutnya rakyat mahukan SPRM yang tegas, telus dan konsisten yang bertindak berlandaskan undang-undang, menjunjung keadilan dan tidak berkompromi dalam memerangi rasuah.
“Inilah masanya untuk membuktikan bahawa SPRM benar-benar bebas bukan hanya pada nama, tetapi pada tindakan,” tambahnya.



0 Comments