Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Negeri-negeri di Pantai Timur berdepan risiko kekurangan bekalan petrol RON95 dan diesel di stesen minyak milik Caltex berbanding negeri di Pantai Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Hilmi Abdullah berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan agihan bekalan bahan api di seluruh negara.
Katanya, walaupun gangguan itu dikaitkan dengan kelewatan urusan di pelabuhan, namun situasi berkenaan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat khususnya di Pantai Timur.
“Bekalan bahan api merupakan keperluan asas yang kritikal, bukan sahaja kepada pengguna harian, malah memberi kesan langsung kepada operasi perniagaan, sektor logistik dan perkhidmatan kesihatan,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Baru-baru ini Caltex Malaysia pada kenyataan memberitahu kemungkinan gangguan bekalan petrol RON95 dan diesel di beberapa negeri termasuk Kelantan.
Hilmi berkata, kerajaan Kelantan memandang serius notis yang dikeluarkan syarikat terbabit kerana sebarang gangguan bekalan yang berulang tanpa perancangan mitigasi tidak boleh dipandang ringan.
“Kerajaan negeri berharap pihak berkaitan mengambil langkah segera bagi memastikan kestabilan bekalan demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan ekonomi khususnya di Pantai Timur,” ujarnya.



0 Comments