Potensi penerbangan terus Kota Bharu-Taiwan

 

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan yakin ada potensi diwujudkan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Taiwan dan sebaliknya pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, potensi itu dapat dilihat apabila ejen pelancongan dari Taiwan berminat meneroka industri pelancongan di Kelantan.

Katanya kunjungan tersebut julung daripada ejen pelancongan Taiwan dan diharap menjadi pembuka jalan kepada pasaran pelancongan dari negara terbabit.

“Kita percaya syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia akan mempertimbangkannya jika ada permintaan pasaran,” katanya pada majlis makan malam meraikan rombongan dari Taiwan di sebuah hotel baru-baru ini.

Turut hadir wakil hotel tempatan, ejen pelancongan, pemandu pelancong dan wakil hospital yang giat mempromosikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan untuk pasaran luar negara.

Kelantan juga merintis laluan baharu Kota Bharu-Jakarta bermula 16 Jun ini yang dikendalikan Air Asia. Laluan penerbangan baru menghubungkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Airport ke Soekarno–Hatta International Airport.

Laluan Kota Bharu–Jakarta akan beroperasi empat kali seminggu iaitu Ahad, Selasa, Khamis dan Sabtu dengan masa penerbangan sekitar dua jam 40 minit.

Penerbangan akan berlepas dari Kota Bharu pada jam 10 pagi dan tiba di Jakarta pada jam 11.40 pagi waktu tempatan. Manakala penerbangan pulang dijadualkan berlepas dari Jakarta pada 12.10 tengah hari dan tiba di Kota Bharu pada 3.50 petang.

Difahamkan tiket bagi laluan baharu itu mulai dijual sejak 9 Mac lepas. Sebelum ini laluan Penerbangan Kota Bharu-Singapura dibuka semula mulai 26 Oktober 2025 pada hari Jumaat dan Ahad.

Kamarudin juga berkata, kerjasama ejen pelancongan Taiwan dengan Kelantan dijangka memperluaskan lagi potensi pelancongan termasuk sektor pelancongan kesihatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia yang membawa rombongan tersebut ke Kelantan bagi membantu mempromosikan negeri itu di peringkat antarabangsa.


 

 

Post a Comment

0 Comments