Harga diesel: Anwar bermain politik

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kenaikan harga bahan api di Semenanjung dianggap sebagai keterlaluan dan tidak sekata berbanding Sabah dan Sarawak.

Naib Presiden PAS, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, sekiranya kerajaan ingin menaikkan harga bahan api, ia seharusnya dilaksanakan secara seragam di seluruh negara.

Katanya, ia lebih munasabah dan tidak menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan rakyat.

“Terdapat pandangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat bermain politik dalam isu tersebut apabila tidak menyentuh kenaikan harga di Sabah dan Sarawak kerana khuatir menjejaskan sokongan terhadap kerajaan Persekutuan.

“Kerana dibimbangi sokongan terhadap kerajaan PH ditarik pengundi di Sabah dan Sarawak, maka harga diesel di dua negeri itu tidak disentuh,” katanya di sini.

Beliau ditemui pada majlis Aidilfitri Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato’ Dr Ahmad Marzuk Shaary, di Pengkalan Chepa semalam.

Harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 menyaksikan RON95 tanpa subsidi naik kepada RM3.87 seliter, manakala RON97 dan diesel di Semenanjung meningkat kepada RM5.15 dan RM5.52 seliter.

Mohd Amar juga berkata, ketika menjadi pembangkang sebelum ini, Anwar lantang berpolitik berkaitan isu minyak, namun situasi berbeza apabila memegang tampuk pemerintahan.

“Apabila sudah menjadi Perdana Menteri, perkara itu dilihat tidak dapat dikawal,” katanya.

Menurutnya kenaikan harga minyak yang berlaku sekarang disifatkan antara yang tertinggi berbanding pentadbiran perdana menteri terdahulu.

Malah, tidak pernah berlaku sebelum ini harga minyak di Thailand lebih rendah berbanding Malaysia.

“Ini sesuatu yang pelik kerana sebelum ini tidak pernah berlaku harga minyak di Thailand lebih murah daripada negara kita,” ujarnya.

Beliau menegaskan kadar kenaikan di Malaysia terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat, di mana kenaikan harga diesel terlalu cepat ketika perang di Asia Barat berlaku tidak sampai sebulan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan meneliti semula mekanisme penetapan harga bahan api agar lebih adil dan tidak menekan kehidupan rakyat.


Post a Comment

0 Comments