KOTA BHARU: Penambahbaikan
bekalan air di Kelantan dilaksanakan secara berperingkat termasuk pembinaan
tangki baharu dan peningkatan kapasiti loji rawatan air.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya antara tahun 2028 hingga 2030.
Katanya apabila projek terbabit siap sepenuhnya sasaran pengeluaran air bersih mencecah 880 juta liter sehari.
“Bagaimanapun Kelantan masih berdepan isu kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi selain kekangan kuantiti pengagihan bekalan air.
“Penggunaan lori tangki dan penyediaan tong air di kampung-kampung antara langkah alternatif sementara bagi membantu rakyat,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.
Dr Izani juga berkata, penukaran paip lama tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Kata beliau hanya kira-kira 150 kilometer paip dilulus untuk ditukar setiap tahun walaupun lebih 3,000 kilometer paip lama masih perlu diganti bagi mengurangkan NRW.
Menurutnya juga Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mempergiatkan usaha menangani gangguan bekalan air di beberapa kawasan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha dengan menggerakkan lori tangki serta menambah tong air di lokasi terjejas.
Kata beliau langkah itu diambil susulan aduan rakyat di mana masih ada kawasan yang masih mengalami kekurangan bekalan air.
“Kita cuba sebaik mungkin untuk mengagihkan air ke rumah-rumah pengguna menggunakan lori-lori air.
"Bagaimanapun beberapa kampung yang sebelum ini mengalami masalah bekalan kini mula menerima air semula ekoran tindakan segera yang dilaksanakan kerajaan negeri,” ujarnya.



0 Comments