Kelantan tidak iktiraf UEC kemasukan program asasi KIAS

 

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Kelayakan Unified Examination Certificate (UEC) tidak diiktiraf untuk kemasukan ke program asasi di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, kelayakan UEC tidak termasuk dalam syarat kelayakan akademik yang diterima kemasukan ke program berkenaan.

Menurutnya berdasar syarat kemasukan yang dipaparkan KIAS, program asasi terbuka kepada calon yang memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan lain yang setaraf serta diiktiraf.

“Sehubungan itu, calon yang hanya memiliki kelayakan UEC adalah tidak layak dipertimbangkan bagi kemasukan ke program asasi KIAS,” katanya pada kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Keputusan kerajaan Madani tersebut dianggap pelbagai pihak sebagai tindakan salah dan bersifat politik memandang isu tersebut sudah lama diperjuangkan DAP.

Wan Roslan juga berkata, sebarang perubahan dasar atau syarat kemasukan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi kolej universiti berkenaan dari semasa ke semasa.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh merujuk laman rasmi KIAS atau menghubungi Unit Kemasukan Pelajar institusi terbabit.

Post a Comment

0 Comments