Manfaat aktiviti ziarah dengar keluhan rakyat

 
Oleh Salmah Mat Husain |

MACHANG: Pusat Khidmat Dun (PKD) Kemuning menyediakan peralatan pesakit secara wakaf termasuk katil, tongkat kaki empat, kerusi roda dan lain-lain bagi kegunaan pesakit.

Adun Kemuning, Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, apabila pesakit kembali sembuh atau meninggal dunia, peralatan yang dipinjam berkenaan diserahkan kepada PKD untuk kegunaan pesakit lain pula.

Katanya, baru-baru ini seorang remaja yang patah kaki kanan ketika perlawanan bola sepak diberi bantuan katil wakaf bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Kata beliau katil wakaf diserah kepada Muhammad Aiman Akimi Mahadi, 16, semasa program ziarah di kediamannya di Kampung Belukar pada 16 Mei lalu.

“Bantuan itu diharap dapat memudahkan urusan penjagaan harian remaja terbabit sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

“Semoga dengan adanya katil ini dapat memudahkan lagi ibu bapanya menjaga dan menguruskan keperluan adik Aiman Akimi menjalani rutin harian,” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau juga berkata, aktiviti ziarah rakyat menjadi rutin petugas PKD  dalam usaha mendekatkan pemimpin dengan masyarakat.

Menurutnya hubungan melalui lawatan ziarah membolehkan pelbagai isu dan keperluan sebenar penduduk boleh diketengahkan.

“Ketika kita jumpa rakyat, kita boleh dengar sendiri masalah mereka. Setiap lawatan dilakukan bersama penghulu mukim bagi memudahkan urusan pengesahan serta pemantauan.

“Kehadiran penghulu bagi memastikan maklumat berkaitan rakyat dapat diselaraskan dengan lebih tepat dan berkesan,” ujarnya.

Ahmad Zakhran juga berkata, pertemuan santai di kedai kopi dan masjid serta surau turut menjadi medium untuk mendekati masyarakat dalam suasana lebih terbuka.

Kata beliau pendekatan berkenaan membantu mewujudkan hubungan lebih rapat antara pemimpin dan rakyat tanpa batas formaliti.

Beliau juga berkata, amalan turun padang secara konsisten menjadi asas penting bagi memastikan jentera pentadbiran di peringkat PKD lebih dekat dengan rakyat.


Post a Comment

0 Comments